skip to main |
skip to sidebar
Bersama Dr Haron Din: al-Quran terpelihara sehingga kiamat
Dr Haron Din
Fri | Dec 28, 07 | 11:16:06 am MYT
SOALAN: Apakah al-Quran hari ini tidak pernah dipinda, diubah atau ditokok tambah seperti pada kitab-kitab Taurah dan Injil. Harap Dato' dapat jelaskan. - SULAIMAN ABU BAKAR, Kota Damansara, Selangor.
JAWAPAN:Kitab-kitab Allah disebut sebagai 'wahyu Ilahi' diturunkan kepada manusia berdasarkan keperluan dan kehendak semasa pada zaman yang berlainan dalam masyarakat yang berlainan.
Cara turun ayat-ayat Allah itu pun berbeza. Kepada Nabi Musa a.s. Allah turunkan at-Taurah sekali gus, tertulis di papan-papan atau di batu-batu yang dinamakan 'al-waah' di Thursina.
Sedangkan al-Quran diturunkan sedikit demi sedikit melalui perantaraan Jibril a.s. dalam jangka masa kira-kira 23 tahun.
Dalam kitab-kitab terdahulu, tidak terdapat suatu ayat yang jelas, Allah menjamin bahawa wahyu-wahyu itu tidak diubah atau dipinda oleh manusia.
Tidak seperti al-Quran, yang jelas nyata Allah menyebut (mafhumnya): "Sesungguhnya hanya Kami yang menurunkan al-Quran dan Kami-lah yang akan memeliharannya." (Surah al-Hijr, ayat 9)
Dalam Tafsir al-Qurtubi, juzuk 10 halaman empat, ketika membuat tafsiran ayat ini, beliau menyebut, bahawa ungkapan "Kami-lah yang kan memeliharannya", bermaksud Allah memeliharan al-Quran daripada sebarang penambahan dan mengawalnya daripada sebarang pengurangan.
Berkata Qatadah dan Tsabit al-Banaani, Allah SWT menjaga al-Quran daripada diubah ditambah atau dipinda oleh manusia mahupun syaitan.
Ada kisah percubaan manusia yang dirasuk atau dipengaruh oleh syaitan serta nafsu jahat mereka untuk mengubah perkataan al-Quranul Karim atau mengubah hukumnya memang pernah berlaku.
Salah satu peristiwa itu, berlaku pada zaman Khalifah al-Makmun (Abdullah bin Harun ar-Rashid, 170H - 218H, Khalifah Abbasiyah).
Menurut cerita yang disampaikan oleh Al-Husain bin Fahmi katanya, dia mendengar Yahya bin Akthum menceritakan, Khalifah al-Makmun menganjurkan majlis-majlis ilmu yang berbentuk munazarah (perdebatan) yang dihadiri ramai ulama tersohor dan orang ramai.
Antara yang hadir adalah seorang Yahudi yang zahirnya sopan, berpakaian kemas mengambil bahagian dengan memberi pandangan tidak menerima Islam, tetapi bertutur dengan bahasa indah dan teratur sehingga menarik perhatian Khalifah.
Selesai majlis pada malam itu al-Makmun memanggil Yahudi tersebut dan mendakwahkannya agar dia menerima Islam.
Bagaimanapun Yahudi tersebut menolak dengan sopan seraya berkata, "Agamaku adalah agama datuk nenekku, agama Yahudi yang tidak ada gantian dengan yang lain."
Selepas setahun kemudian, dia muncul sekali lagi, tetapi kali ini pakaiannya berubah rupa, tutur katanya berbeza dan dia menyokong Islam dengan penuh semangat dan berisi.
Selesai majlis, al-Makmun sekali lagi menjemput lelaki Yahudi tersebut dan bertanya khabar hal beliau. Kata lelaki itu, dia telah memeluk Islam.
Al-Makmun begitu ingin mengetahui bagaimana lelaki tersebut boleh berubah daripada Yahudi yang taksub dengan agamanya kepada menerima Islam.
Jawab Yahudi tersebut berkata, "Dahulu saya menolak Islam kerana saya belum mengenalinya, setelah mengkaji, mendengar dan berbahas, akhirnya saya menemui dengan kebenaran."
Sambung Yahudi itu, "Saya seorang penulis khat yang mahir dan cantik, kerja saya menulis Kitab Injil dengan merubah dan memindah isi kandungannya sesuka hati saya dan menjualnya kepada pendita-pendita agama dan orang awam.
"Saya lakukan sedemikian kepada Kitab Taurah. Kitab-kitab yang dipinda tersebut dibeli oleh rahib-rahib dan orang awam tanpa sebarang keraguan atau masalah.
"Apabila saya memulakan kerja untuk menukar serta menambah daripada al-Quran, saya berjaya menulis tiga naskhah dan saya jual kepada Warraqeen, kedai kitab biasa, tuan punya kedai tersebut bersetuju untuk membeli pada mulanya.
"Tetapi apabila dibuka beberapa lembar, dia bukan sahaja tidak mahu membelinya, malah mencampakkannya keluar dari kedainya. Kerana katanya, ini bukan al-Quran, ini telah berlaku penambahan dan pengurangan.
"Saya berbuat demikian kepada tiga kedai kitab yang berbeza. Ketika ketiga pemilik kedai memberikan respons yang sama.
"Dengan peristiwa itu, terbukalah hati saya dan saya mengetahui bahawa az-Zabur, at-Taurah dan al-Injil yang ada bukan lagi Kitab Allah. Tidak seperti al-Quran, ia tulen dan dipelihara Tuannya (Allah).
"Saya bertemu dengan ayat di dalamnya, Surah al-Hijr ayat 9. Kerana itulah saya yakin dengan al-Quran dan saya memeluknya," jelas Yahudi tersebut.
Bukan sahaja peristiwa itu, malah berlaku percubaan ada manusia cuba meminda al-Quran, namun al-Quran yang diubah dikumpul dan dimusnahkan seperti al-Quran yang pernah dicetak di Soviet Union (Rusia) suatu ketika dahulu.
Pernah berlaku di Malaysia tahun 1960-an, pegawai Masjid Negara mendapati ada al-Quran yang dipalsukan. Lalu dikumpul dan dimusnahkan.
Tidak seperti kitab-kitab lain, diubah dan dipinda oleh penulis-penulisnya yang menggunakan cara masing-masing, menulis kitab itu berdasarkan akal manusia, maka berlakulah kelainan.
Al-Qurannul Karim, datang daripada Allah SWT, dipelihara-Nya sampai ke Hari Kiamat. Wallahu a'lam. - lanh
Sumber : 
Bersama Dr Haron: Menukar hukum Allah SWT kesalahan besar
Dato' Dr Haron Din
Mon | Jan 14, 08 | 10:25:21 am MYT
SOALAN: Ada ulama mengatakan bahawa pemerintah Islam hari ini, dibolehkan memilih undang-undang selain undang-undang Allah dan menggantikannya dengan undang-undang ciptaan manusia kerana perubahan zaman, boleh membawa perubahan hukum berdasarkan kepada kaedah ilmu fikah yang berbunyi antara lain bahawa 'hukum Islam berubah mengikut perubahan tempat dan masa'. Betulkah pandangan ulama itu? Adakah kaedah fikah tersebut terpakai? Mohon Dato' jelaskan. - MOHD FIRDAUS AHMAD, Bandar Country Homes, Rawang
JAWAPAN: Permasalahan anda kemukakan ini besar yang melibatkan hukum-hukum Allah.
Saya ingin mengingatkan, jangan sampai kita mempermain-mainkan hukum Allah dengan memberi alasan remeh bagi membolehkan manusia menggunakan alasan agama untuk menolak hukum agama.
Hukum Allah SWT ada dua cabang yang terbesar. Pertamanya, hukum-hukum qat'ie dan keduanya, hukum-hukum yang tidak qat'ie.
Yang qat'ie bermaksud hukum-hukum tetap yang tidak berubah. Yang tidak qat'ie adalah hukum tidak 'rigid' dan boleh berubah.
Yang tidak berubah sabit seperti hukum-hukum kesalahan jenayah dan hudud. Sedangkan hukum-hukum yang sabit dengan ijtihad, ia boleh berubah.
Hukum-hukum haram halal sesuatu pemakanan yang sabit dengan ayat-ayat yang muhkamat, demikian juga dalam minuman serta dalam haram halal bergaul dengan perempuan.
Yang diharamkan dalam perkahwinan seperti yang disebutkan muhramat, yang diharamkan berkahwin selama-lamanya.
Begitu juga haram memakan babi, bangkai, darah, meminum arak dan yang seumpama dengannya, hukum haramnya kekal sampai sehingga bila-bila.
Sebenarnya tidak ada pilihan. Allah juga tidak pernah memberi pilihan dalam melaksanakan hukum-hukum qat'ie, seperti haramnya riba, mencuri atau merompak, berzina dan sebagainya sudah sabit pengharaman dalam al-Quran.
Hukumnya sabit, maka ia tidak lagi menjadi pilihan.
Firman Allah (mafhumnya): "Dan tidak harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan sesuatu perkara, tidak harus mereka membuat pilihan sendiri. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia berada dalam kesesatan yang amat nyata." (Surah al-Ahzab, ayat 36)
Daripada ayat ini dan hadis-hadis Nabi yang sahih, jelas menunjukkan bahawa hukum-hukum Allah tidak boleh dipermain-mainkan.
Adapun kaedah yang disebutkan itu, memang ia suatu kaedah fikah yang termasuk dalam istilah al-qawa'id al-fiqhiyyah.
Kaedah seperti ini tidak boleh dilaksanakan kepada kesemua hukum. Ia dibuat oleh ulama terdahulu, bagi mengkhususkan kepada perkara-perkara penggunaan akal yang disebut sebagai ijtihad.
Ijtihad bererti, ulama mengeluarkan hukum-hukum baru yang diasaskan kepada nas-nas syarak berdasarkan kepada i'llah dan sebab-sebab khusus yang membolehkan hukum baru dikeluarkan.
Hukum-hukum ini adalah hukum akal. Akal manusia berbeza. Seperti berbezanya hukum-hukum ijtihad pada perkara-perkara furui'yyat (perkara cabang) dalam hukum fikah.
Perkara cabang inilah yang memungkinkan ijtihad dan berlaku perubahannya yang mengikuti perubahan zaman.
Namun demikian, bukan kesemua hukum ijtihad boleh berubah mengikut perubahan zaman atau mengikut selera manusia.
Jika ijtihad bertentang dengan hukum asal yang qat'ie dalam al-Quranul Karim, maka ijtihad tersebut tidak boleh dipakai.
Seperti kaedah lain yang disebutkan, ijtihad tidak boleh menyalahi hukum syarak.
Sepatutnya para ulama mencari jalan untuk memudah atau membolehkan hukum Allah dilaksanakan. Bukan mencari justifikasi untuk menghalang perlaksanaan hukum tersebut.
Antara sebab bagi manusia hari ini menolak hukum Allah SWT, adalah kerana ingin mempertahankan status-quo yang ada.
Jangan sesekali menyokong pemerintah, dengan tidak memberi perhatian serius daripada akibat penolakan hukum-hukum Allah SWT.
Oleh sebab itu, menukar hukum Allah dengan hukum ciptaan manusia adalah kesalahan yang amat besar.
Perhalusilah sebaik-baiknya sebarang tindakan kita, bagi mengelak kerugian besar di akhirat nanti. Wallahua'lam. - lanh
Sumber : 

Pengalaman Ustaz Haron Din Masuk Dalam Kaabah


Bahagian Pertama (Kuliah Subuh di Mekah pada 18 April 2005)
Saya pernah tawaf di Baitullah seorang diri. Pelik tetapi benar. Waktu itu iaitu empat tahun sudah (2001) saya datang ke Mekah, Allah taala lah yang mengaturkannya, saya dapat peluang untuk masuk ke dalam Kaabah. Sebab saya datang atas tetamu tokey yang membuat dan membersihkan Masjidil Haram.
Pagi itu saya datang awal. Pengawal keselamatan baru memagar keliling Kaabah dan saya dapat masuk ke dalam pagar itu sebab saya ada Pass VIP. Ketika itu tetamu-tetamu lain tak sampai lagi. Ketika itu lah saya tawaf seorang diri di hadapan Kaabah. Lepas saya habis tawaf baru tetamu-tetamu lain sampai. Ketika itulah saya nampak Hajarul Aswad seterang-seterangnya, ia tidak lagi hitam tetapi sudah kemerah-kemerahan.
Bila pintu Kaabah di buka saya orang yang ke tiga masuk ke dalam. Pertama pembuka pintu Kaabah iaitu daripada Bani Syaibah.
Pembuka pintu itu sudah tua, dia melatih anaknya yang berumur lebih kurang empat tahun untuk membuka pintu Kaabah itu.
Sejarah pintu Kaabah itu, kalau orang yang lain tidak boleh buka. Dia hanya boleh di buka oleh pemegang kunci itu sahaja dari keturunan Bani Syaibah. Bila Nabi meninggalkan Mekah kerana berhijrah ke Madinah, Mekah di kuasai oleh Bani Syaibah. Bani Syaibah ini adalah keturunan yang di amanahkan untuk memegang kunci kaabah sejak turun temurun.
Bila nabi balik semula ke Mekah dalam tahun 7 hijiriah, berlaku peperangan pembukaan Mekah, nabi menang dan orang Islam berkuasa ke atas Mekah. Nabi menghantar Sayidina Ali untuk mengambil kunci pintu Kaabah daripada Bani Syaibah. Sayidina Ali pergi ke Bani Syaibah dan rampas kunci tersebut. Bani Syaibah serahkan kunci kepada Sayidina Ali tetapi bila pintu Kaabah nak di buka tak boleh. Sekejap sahaja datang Jibrail kepada Nabi membawa wahyu dari Allah. Al-Quran (An-Nisaa':58)
Mahfumnya 'Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya'
Nabi bagi balik kunci itu kepada Bani Syaibah, walaupun ketika itu Bani Syaibah belum Islam lagi. Rupa-rupanya bila bagi balik, Bani Syaibah kata mesti dia seorang nabi. Kalau dia bukan seorang nabi pasti dia gila kuasa kerana memegang kunci ini adalah satu penghormatan turun temurun. Bila kunci ini dipulangkan balik, ketua Bani Syaibah terbuka hatinya memeluk Islam kemudian semua pengikutnya memeluk Islam sehingga hari ini.
Budak kecil tadi dibawa tangannya untuk pegang kunci oleh bapanya kemudian di buka dan di tolak pintu itu. Saya lihat di depan saya. Berapa besar pintu itu? Berapa tebalnya? Pintu itu dibuat dari Solid Gold beratnya 8 tan. Dia tolak senang sahaja, kemudian kami masuk.
Mula-mula sekali saya pergi sembahyang di satu ruang belakang pintu Kaabah yang menghadap ke arah Hajaral Aswad (dari dalam) iaitu di bahagian Multazam. Selama sejam saya berada di dalam Kaabah itu.
Di dalam Kaabah itu masih ada lampu yang digunakan pada zaman nabi dahulu. Zaman Kerajaan Umaiyyah ditukar lampu lain seterusnya zaman Kerajaan Abasiyah juga tukar lampu. Apabila lampu di tukar, lampu yang lama di simpan di dalam Kaabah. Berpuluh-puluh atau mungkin beratus-ratus lampu lama ada disimpan di dalam itu.
Bahagian Kedua (Kuliah Pengubatan pada 12-Feb-2007)
Saya membantu salah seorang yang terkaya di Saudi Arabia , multi-billionaire, semua projek di Saudi dia yang buat. Dia ada masalah keluarga mintak tolong saya ikhtiarkan. Allah nak tunjukkan bahawa masalah yang dihadapi itu telah terlalu lama, ada duit yang banyak pun tak boleh selesai.
Dia tunggu saya di airport Jeddah dengan jet peribadi. Saya tak pergi imigresen dia terus ambil saya dari tangga kapal terbang terus masuk ke jet dia. Sungguh kuat pengaruh dia, saya tanya passport saya bagaimana, tak ada masalah dia dah uruskan. Naik jet dia pergi ke Madinah. Saya selesaikan masalah dia dengan izin Allah SWT. Lepas itu biasalah adat orang Arab nak bagi itu nak bagi ini sebagai balasan.
Saya kata kepada dia, 'Kalau kamu nak masalah itu selesai selama-lamanya dan tak berulang semula, jangan bagi pada aku apa-apa, kalau kamu bagi, aku
boleh terima tetapi masalah itu akan berulang balik.'
Dia mintak maaf tetapi dia kata 'Aku nak buat sesuatu untuk kamu apa yang kamu nak??. Saya kata 'Ok kalau begitu apa yang aku nak tolong bawak aku masuk ke dalam Kaabah.' Dia kata 'Itu mudah sangat, esok pun aku boleh arah buka'. Saya kata 'Tak apalah kamu arahlah'. Dia kata 'Tak apa itu perkara kecil, mintak yang lain.' Saya kata 'Tidak, itu paling besar pada saya. Kalau kamu boleh bawa masuk aku ke dalam Kaabah, itu sudah lebih daripada cukup.'
Akhirnya saya dapat masuk. Saya masuk dengan dia ke dalam Kaabah, itulah kenangan yang tak boleh saya lupa sampai hari ini.
Sumber :